Artikel asal: Shura and Democracy: A Conceptual Analysis
url: http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?pagename=IslamOnline-English-Ask_Scholar/FatwaE/FatwaE&cid=1119503544462
Terjemahan oleh: Perswis
Shura dan Demokrasi: Satu Analisis Konsep
Pertanyaan:
Yang berhormat Syaikh, As-Salamu ‘Alaykum wa Rahmatu Allah wa Barakatuh. Bolehkah Syaikh memberi penerangan tentang istilah “Shura” dan “Demokrasi”? Sebenarnya, saya merasa sukar untuk membezakan dua istilah tersebut. Jazakum Allah Khayran.
Jawapan:
Wa ‘Alaykum As-Salamu wa Rahmatullahi wa Barakatuh.
Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.
Segala puji hanya bagi Allah, dan selawat serta salam ke atas Rasul-Nya.
Saudara dalam Islam, terima kasih di atas pertanyaan; ia amat menarik dan kami memohon kepada Allah yang Maha Agung untuk menolong kita dalam berkhidmat di Jalan-Nya dan menjadikan usaha kita hanya untukNya.
Berkaitan dengan istilah Shura (Perundingan bersama) dan demokrasi, Dr. Ja’far Sheikh Idris, professor dalam bidang pengajian Islam, Institut Pengajian Sains Islam dan Arab, Washington, menyatakan:
Apa itu Shura?
Shura berasal dari perkataan arab shara yang maksud asalnya, berdasarkan kepada kamus klasik arab; mengekstrak (mendapatkan) madu lebah dari sarangnya. Perkataan tersebut kemudian memperolehi makna tambahan dimana kesemuanya berkaitan dengan maksud asal. Salah satu makna tambahan tersebut adalah Perundingan dan Pertimbangan yg berhati-hati. Cara perundingan dan pertimbangan yang berhati-hati, memberi idea dan pendapat daripada minda manusia telah dilihat sebagai sejajar dengan mengekstrak madu lebah dari sarangnya. Ia juga mungkin difikirkan bahawa idea dan pendapat-pendapat yang bernas adalah semanis dan sangat berharga seperti madu.
Berdasarkan kepada makna dari segi bahasa, Shura dilihat tidak lebih daripada satu prosedur untuk mendapatkan/ mencapai keputusan. Oleh itu, ia juga boleh didefinasikan sebagai prosedur untuk membuat keputusan melalui perundingan dan pertimbangan yang berhati-hati diantara mereka yang mempunyai kepentingan di dalam perkara yang hendak diambil keputusan, atau orang lain yang dapat membantu mereka untuk mencapai keputusan.
Kepentingan di mana Shura dilaksanakan boleh jadi samada ia adalah kepentingan individu, atau kepentingan sekumpulan individu, atau ia adalah kepentingan keseluruhan individu di dalam masyarakat. Mari kita namakan yang pertama Shura individu, yang kedua Shura kumpulan dan yang ketiga Shura awam/ masyarakat.
Oleh itu, secara formalnya difahami bahawa, Shura tidak ada kena mengena dengan perkara yang hendak diputuskan, atau asas prinsip di mana para perunding membuat keputusan, atau keputusan yang dicapai, kerana ia hanyalah prosedur, satu alat mungkin, yang boleh digunakan oleh mana-mana kumpulan manusia – sekumpulan perompak, majlis pemerintah (junta) tentera, senat Amerika atau majlis wakil-wakil Muslim.
Oleh itu, tiada di dalam konsep ini sesuatu yang secara hakikinya keislaman. Malah Shura didalam satu bentuk atau lainnya telah dipraktikkan sebelum kedatangan Islam. Seorang ‘Arab Badwi dilaporkan berkata, “Tidak pernah aku mengalami nasib malang yang tidak pernah dialami oleh kaumku.” Bila ditanya mengapa, dia berkata, “Kerana aku tak pernah melakukan sesuatu sebelum aku berunding dengan mereka, astasheeruhum.” Dikatakan juga bahawa kaum bangsawan ‘Arab kerapkali berasa tertekan jika sesuatu perkara diputuskan tidak melalui Shura. Orang bukan ‘Arab juga mempraktikkannya. Permaisuri negara Saba’ menurut al-Quran, mempunyai kecenderungan untuk tidak membuat keputusan tanpa perundingan dengan ketua-ketua kaumnya. Dalam konteks ini, Al-Quran menerangkan: “Dia (Permaisuri negara Saba’) berkata: Wahai ketua-ketua kaum, berilah penjelasan kepadaku mengenai perkara yang aku hadapi ini; aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadir memberi pendapat dan mempersetujuinya.” (An-Naml: 32)
Apa itu Demokrasi?
Apa itu demokrasi? Definisi yang lazim adalah kepimpinan (rule), kratos, oleh rakyat (people), demos. Dengan definasi lazim ini, demokrasi tidak ada kena mengena dengan Shura. Tetapi bila sahaja kita bertanya: “Bagaimana manusia memimpin?” kita akan mula melihat kaitannya.
‘Kepimpinan’ membayangkan pemerintahan keatas seseorang atau sesuatu kumpulan, dan jika semua orang memimpin, keatas siapa mereka memimpin? (Barry, 208)
Jawapan yang dipersetujui oleh para pemikir teori demokrasi keatas apa yang dimaksudkan dengan ‘kepimpinan’ adalah manusia membuat keputusan diatas polisi awam. Bagaimana mereka membuat keputusan tersebut? Secara idealnya, melalui perbincangan dan pertimbangan yang berhati-hati dalam pertemuan muka bertemu muka antara manusia sepertimana halnya di Athens.
Kesamaan
Oleh itu, demokrasi juga mempunyai sesuatu yang berkaitan dengan keputusan yang diambil setelah melakukan pertimbangan dengan berhati-hati. Dalam masa yg sama, ini juga adalah apa yang seorang ‘Arab gambarkan sebagai Shura. Mungkin juga difikirkan bahawa masih terdapat perbezaan antara Shura dan demokrasi, kerana demokrasi seolahnya dibataskan kepada hal-hal politik. Tetapi konsep demokrasi dengan mudah dapat diluaskan kepada aspek kehidupan yang lain kerana manusia yang memilih untuk memberi kuasa membuat keputusan dalam hal-hal politik kepada keseluruhan penduduk tidak patut ragu-ragu untuk memberi kuasa yang sama kepada individu-individu yang membentuk organisasi yang lebih kecil, jika hal tersebut menjadi kepentingan setiap dari mereka. Oleh itu, konsep demokrasi merangkumi dan boleh diluaskan untuk memasukkan kumpulan-kumpulan seperti parti politik, organisasi amal dan persatuan-persatuan perniagaan. Oleh yang demikian secara luasnya, demokrasi hampir serupa dengan Shura. Tiada apa didalam makna utama dan makna luas demokrasi yang menjadikannya secara hakiki sebagai kebaratan atau sekular. Jika Shura boleh mengambil bentuk sekular, demokrasi juga boleh mengambil bentuk Islam.
Islam dan Demokrasi Sekular
1. Perbezaan Asas:
Apakah kriteria-kriteria Shura bila ia mengambil bentuk Islam, dan apakah kriteria-kriteria demokrasi bila ia mengambil bentuk sekular, dan apakah beza antara bentuk-bentuk tersebut dan apakah pula kesamaannya, jika ada? Apakah bentuk setiap mereka, jika diletakkan di dalam rangka yang lain? Saya tidak boleh pergi secara terperinci di sini. Biar saya memberi penumpuan ke atas isu-isu penting yang mengasingkan Islam dan sekularisma dari pandangan sejagat, yang seterusnya memberi demokrasi dan Shura bentuk tertentu apabila diletakkan di lingkungan rangka kerjanya.
Mari kita memahami sekularisma sebagai kepercayaan bahawa agama tidak perlu mempunyai apa-apa kaitan dengan polisi awam/ umum, dan jika perlu hanya didalam hal-hal persendirian. Hal pertama yang perlu disedari di sini adalah, tidak ada kaitan logikal antara sekularisma dan demokrasi. Sekularisma adalah sama serasi dengan kezaliman dan penindasan sebagaimana halnya ia serasi dengan demokrasi. Oleh itu sesiapa yang percaya dengan sekularisma, boleh tanpa pelanggaran untuk memerintah secara penindasan.
Katakanlah mereka (yang percaya dengan sekularisma) memilih sistem demokrasi. Di sini mereka mempunyai dua pilihan:
a. Mereka boleh memilih untuk menjadikan rakyat mempunyai kuasa mutlak tertinggi, didalam keadaan dimana mereka atau wakil mereka bebas untuk memutuskan secara undi majoriti atas apa-apa isu, atau meluluskan atau menghalang sebarang pengubalan undang-undang. Demokrasi bentuk ini adalah antitesis kepada Islam kerana ia meletakkan apa yang dipanggil rakyat (manusia) di tempat Allah; di dalam Islam hanya Allah mempunyai kuasa mutlak untuk membuat undang-undang. Sesiapa yang mendakwa mempunyai hak tersebut mendakwa sebagai Tuhan, dan sesiapa yang memberinya hak tersebut secara tak langsung menerimanya sebagai Tuhan. Perkara yang sama boleh terjadi jika satu komuniti sekular menerima prinsip Shura, kerana mereka tidak akan mengeluarkan sebarang hal dari ruang lingkup kekuasaannya, dan tiada didalam konsep Shura yang boleh membuatkan ia tidak sah.
b. Pilihan alternatif adalah bagi rakyat sekular memilih satu bentuk demokrasi di mana hak rakyat untuk menggubal undang-undang terhad kepada apa yang dipercayai oleh masyarakat sebagai satu undang-undang yang lebih tinggi dimana undang-undang manusia adalah di bawah undang-undang tersebut dan ia tidak boleh dilanggari. Samada demokrasi bentuk ini serasi dengan Islam atau tidak bergantung kepada sifat dan skop batasan-batasan, dan keatas apa yang dipercayai sebagai undang-undang yang lebih tinggi tersebut.
Didalam demokrasi liberal majoriti dari keseluruhan penduduk tidak mempunyai hak untuk menafikan hak minoriti, walaupun ia hanya seorang individu, atas apa yang dipercayainya sebagai hak asasi manusia. Kepercayaan keatas hak-hak tersebut tidak ada kena mengena dengan sekularisma, yang secara lengkapnya serasi, sepertimana yg kami lihat, dengan demokrasi tanpa batasan. Terdapat perbezaan asas antara Islam dan demokrasi bentuk ini, dan terdapat perbezaan-perbezaan kecil, tetapi terdapat juga persamaan-persamaan.
Perbezaan asasnya adalah di dalam Islam undang-undang Allah seperti yang terkandung di dalam Qur’an dan Sunnahlah yang paling tinggi dimana hak manusia untuk membuat undang-undang adalah dibatasi oleh keduanya. Seorang Muslim sejati tidak akan membuat, atau secara sengaja menerima, atau percaya bahawa semua orang/ ada orang yang mempunyai hak untuk membuat, atau menerima, pembentukan undang-undang yang bercanggah dengan undang-undang Ilahi. Contoh pelanggaran-pelanggaran termasuk penghalalan minuman-minuman memabukkan, berjudi, homoseksual, riba’ dan termasuk pengambilan anak angkat.
Bila sesetengah Muslim membantah demokrasi dan menggambarkannya sebagai tidak Islamik, jenis undang-undang beginilah yang ada di dalam fikiran mereka. Shura tanpa kawalan atau Shura liberal, walaubagaimanapun, ada kemungkinan menjadi tidak Islamik sebagaimana demokrasi liberal atau demokrasi tanpa kawalan. Masalahnya adalah pada sekularisma dan liberisasi, bukan pada demokrasi, dan tidak akan hilang dengan mengadoptasi Shura menggantikan demokrasi.
Perbezaan asas seterusnya adalah, tidak seperti demokrasi liberal, Shura Islam bukanlah satu sistem politik, kerana hampir kesemua prinsip dan nilai sesuatu masyarakat itu diatur, dan yang dipatuhi masyarakat itu, telah dinyatakan oleh undang-undang tertinggi. Deskripsi yang sepadan dengan sistem politik yang berdasarkan kepada prinsip-prinsip tersebut adalah ia keIslaman dan bukan keShuraan, kerana Shura hanyalah salah satu komponen di dalamnya.
Ciri Islam ini menjadikan masyarakatnya imun kepada penindasan mutlak dan kediktatoran. Terdapat pemimpin Muslim yang memerintah secara kuku besi (Despotik), tetapi mereka demikian kerana tidak dipilih oleh wakil ummah Muslim yang sebenar, atau mereka tidak ketat di dalam mematuhi sebahagian ajaran Islam; tetapi tiada dari mereka yang menggelarkan diri pemimpin Muslim sanggup, atau mahu, untuk memansuhkan undang-undang Islam.
Penekanan terhadap undang-undang ini menghalang daripada penindasan mutlak. Ia memberikan ‘Ulama’ kekuasaan penggubalan undang-undang yang besar sehinggakan kata-kata mereka, bukannya kata-kata pemimpin sebagai pemutus di dalam pelbagai hal. Salah satu bahagian yang menarik di dalam bab kitab al-Bukhari: Jika pemimpin membuat keputusan yang bertentangan dengan ‘Ulama’, keputusannya adalah ditolak.
2. Kesamaan
Setelah melihat perbezaan-perbezaan asas, marilah kita lihat pula kesamaan-kesamaan, dan beberapa perbezaan kecil dan bukan asas.
Islam dan liberisasi berkongsi nilai tertentu, secara asasnya diatas konsep yang diperlukan oleh demokrasi dan Shura.
Didalam demokrasi liberal terdapat hak-hak peribadi yang dimiliki oleh setiap individu, walaupun mereka adalah minoriti. Hak-hak ini dikatakan tidak boleh diasingkan, oleh itu, secara teorinya, ia tidak boleh dilanggar, walaupun dengan majoriti yang sangat besar. Pelanggaran seperti itu, walaupun jika diwartakan didalam perundangan, menjadikan kerajaan tersebut tidak demokratik, malah menindas. Seseorang mungkin memikirkan bahawa idea tiada pengasingan hak-hak adalah tidak serasi dengan konsep asas demokrasi sebagai kepimpinan oleh rakyat, kerana jika rakyat memilih, dengan undi majoriti, untuk menafikan sebahagian penduduk sebahagian yang apa para liberal panggil sebagai hak-hak asasi manusia, maka itulah yang dikatakan kepimpinan oleh rakyat, dan ia menjadi tidak demokratik untuk tidak meluluskannya. Tetapi atas pemeriksaan yang lebih terperinci seseorang boleh melihat bahawa ia bukanlah demikian halnya. Hal itu bukan demikian kerana konsep demokrasi memerlukan kesamaan. Ini adalah kerana rakyat adalah sama di dalam mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat mereka tentang bagaimana mereka harus dipimpin bahawa demokrasi adalah kepimpinan oleh rakyat. Tetapi secara pastinya setiap individu mempunyai hak-hak yang lebih asas daripada terlibat dengan pembuatan keputusan samada secara langsung atau tidak langsung. Untuk menyertainya antara lain mereka mesti masih hidup dan mereka mesti masih boleh menyatakan pendapat. Jadi, tiada percanggahan antara konsep demokrasi atau Shura dan idea hak-hak yang tidak boleh diasingkan yang membatasi pemerintahan majoriti, kerana yang terdahulu lebih asas daripada demokrasi berbanding yang kemudian.
Sekiranya saya betul didalam mengatakan nilai-nilai yang diperlukan oleh demokrasi dan Shura, maka demokrasi mutlak, yang tidak disekat oleh nilai-nilai itu, ia adalah bertentangan dengan istilah.
Shura Islam mempunyai kesamaan dengan demokrasi liberal bahawa antara isu utama yang perlu diputuskan oleh rakyat adalah tentang pemilihan pemimpin/ pemerintah. Ini dapat difahami daripada fakta bahawa Rasulullah SAW memilih untuk tidak melantik pemimpin pengganti, namun membiarkan umat Islam untuk melakukannya, dan inilah apa yang mereka lakukan didalam perhimpunan am di al-Madinah. Apabila dilaporkan kepada ‘Umar, Khalifah yang kedua, bahawa seseorang berkata jika ‘Umar mati, dia akan memberikan ketaatan kepada sifulan bin sifulan sebagai Khalifah, beliau menjadi amat marah dan berkata beliau akan memberi amaran kepada umat Islam “yang mahu secara paksa menafikan (hak-hak)”. Beliau kemudian membuat kenyataan awam dimana beliau berkata: Jika seseorang memberikan ketaatan kepada seseorang, sebagai pemimpin, tanpa persetujuan-perundingan daripada umat Islam, ‘ala ghayri ma Shurati-n min al muslimeen, maka beliau ataupun orang yang diberikan ketaatan itu tidak perlu diikuti. (Bukhari)
Sepanjang pengetahuan saya, cara mana hak awam perlu dilaksanakan, tidak dinyatakan dimana-mana kenyataan-kenyataan ataupun amalan berwibawa. Empat yang pertama, Al-Rasyideen, adalah Khalifah-khalifah yang dipilih dengan cara yang berbeza.
Adakah Nagara Islam demokratik?
Bolehkah sesebuah negara yang mematuhi prinsip Shura yang dibatasi oleh nilai-nilai Islamik disebut sebagai demokratik? Ya, jika demokrasi secara luasnya didefinasikan dengan istilah keputusan dibuat oleh rakyat. Tidak, jika ia didefinasikan sewenang-wenangnya.
Di dalam menilai negara manakah yang demokratik, kami secara ketat akan menggunakan definasi formal demokrasi. Sesebuah negara adalah demokratik jika ia memberikan rakyatnya hak untuk memilih kerajaan mereka sendiri melalui pengundian rahsia yang berkala, pemilihan-pemilihan multi-parti diatas asas universal dan kesamaan hak pengundian. Ia juga perlu mempunyai tempoh masa yang jelas diantara pemilihan tersebut.
Mengapa perlu hak untuk menubuhkan parti-parti politik menjadi syarat untuk demokrasi? Katakanlah satu negara memberikan rakyatnya, sebagai individu-individu, dan tidak sebagai ahli sesebuah parti, hak untuk memilih kerajaan mereka secara bebas, mengapa ini harus dikecualikan daripada digelar demokratik? Mengapa harus pemilihan kerajaan dilakukan secara berkala? Tidak bolehkah satu negara menjadi demokratik tanpa meletakkan batasan kepada jangka masa pemerintahan satu-satu pemimpin asalkan dia melakukan kerjanya dengan memuaskan, namun memberikan badan pemilihan kuasa untuk menyingkirkannya jika dan apabila mereka fikir dia tidak layak lagi untuk menyandang jawatan tersebut?
Setelah berkata semua di atas, saya mesti tekankan bahawa saya tidak menetapkan apa-apa penambahan kepada gelaran ‘demokratik’. Apa yang penting kepada saya adalah sejauh mana satu-satu negara itu Islamik, sejauh mana ia patuh kepada ajaran-ajaran Islam, dimana pembuatan keputusan oleh rakyat hanyalah salah satu komponen dan, walaupun penting, bukanlah yang terpenting.