|
Jadilah Kamu Penolong-Penolong Allah!
Seseorang itu,
apabila membaca Qurán mesti berhenti untuk berfikir apabila tiba ke ayat
terakhir surah al-Saff, satu ayat yang mengandungi seruan suci: “Wahai
orang-orang yang beriman! Jadilah kamu penolong-penolong Allah” [Surah al-Saff:
14] Ini adalah
pelawaan yang jelas ditujukan secara khusus kepada orang-orang yang beriman
dalam masyarakat Muslim untuk membezakan diri mereka dengan menolong Allah –
dengan menolong Agama-Nya, Undang-undang-Nya, dan orang-orang-Nya. Seruan
tersebut memanggil mereka untuk melakukan usaha ini sebagai yang tertinggi
mengatasi kepentingan individu-individu, organisasi, keluarga, Negara dan
golongan. Ayat tersebut
kemudiannya menyatakan sabdaan Nabi ‘Isa alaihissalam (a.s.) kepada
pengikutnya: “Siapa akan
menjadi penolong-penolongku untuk Allah?” Pertanyaan ini di
jawab oleh pengikut baginda: “Kamilah
penolong-penolong Allah.” Perlu
diperhatikan bahawa kenyataan Nabi ‘Isa a.s. – “Siapa akan menjadi
penolong-penolongku untuk Allah?” – berbeza dalam penggunaan perkataan dengan
perintah pada permulaan ayat - “Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu
penolong-penolong Allah”. Nabi ‘Isa a.s. merujuk kembali pertolongan kepada
dirinya, tidak untuk kepentingannya sendiri, kerana baginda memanggil mereka
kepada Allah. Kedua-dua kenyataan tersebut jelas berbeza. Pemilihan kata oleh
Nabi ‘Isa sesuai untuk Bani Israil, atau beberapa orang di antara mereka yang
menjadi pengikut-pengikutnya dan mereka yang berazam untuk membantu baginda.
Sungguhpun demikian, sebahagian dari mereka ragu-ragu. Boleh dikatakan
juga bahawa penggunaan perkataan yang khusus ini bersesuaian dengan sifat tugas
Nabi ‘Isa a.s. dengan manusia pada masa itu. Kehadiran rasul di antara mereka
adalah salah satu jaminin terbaik bahawa mereka akan kekal di dalam kebenaran
dan tidak berulang kepada melakukan kesilapan. Apabila pengikut-pengikut
baginda menyahut dengan “Kamilah penolong-penolong Allah”, ia seolah-olah
mereka menunjukkan kesetiaan dan ketaatan pertolongan mereka jauh lebih mutlak
dan tidak berganjak dari apa yang mereka mampu laksanakan. Dan Allah lebih
mengetahui. Sementara itu,
kenyataan: “Jadilah kamu penolong-penolong Allah” adalah ditujukan kepada umat
Muslim yang kewujudannya berdasarkan kepada ketaatan yang jitu kepada Jalan
Allah semata-mata, samada Rasulullah SAW berada bersama mereka ataupun tidak. Ini
adalah kerana mereka adalah umat terakhir, masyarakat terakhir yang tiada had
masa ditetapkan terhadap mereka. Kerana itulah Allah berfirman: Dan Muhammad itu
tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang
Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau dia pula mati atau
terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? [Surah Ali
‘Imran: 144] Seruan Nabi
Muhammad SAW tidak ditujukan kepada bangsa-bangsa atau umat tertentu, namun
untuk seluruh manusia. Atas sebab ini, iman dan jihad (perjuangan untuk Iman)
akan berterusan sehingga Kiamat. Rasulullah bersabda: “Tiada hijrah yang wajib
setelah pembukaan Mekah, namun terdapat jihad dan niat yang ikhlas”* [Bukhari
dan Muslim] Baginda bersabda:
“Kebaikan terikat pada jambul-jambul kuda sehingga Hari Kebangkitan: di dalam
bayaran ganti rugi dan hasil rampasan perang.”* Juga: “Akan
sentiasa ada segolongan umatku yang berada di dalam kebenaran, sehingga ke Hari
Kiamat.” Terdapat banyak hadith dengan maksud yang sama."* Atas sebab ini,
umat Muslim diperintahkan untuk memberikan pertolongan mereka kepada Allah,
tidak untuk yang lain, dengan pemahaman sesungguhnya dengan menolong Rasulullah
SAW adalah menolong Allah, seperti juga menolong orang-orang yang beriman.
Pertolongan ini kekal menjadi tanggungjawab Muslim selagimana masih adanya
siang dan malam di Bumi ini, samada mereka lemah atau kuat, kaya atau miskin,
sedikit atau banyak. Sungguhpun demikian, Allah tidak membebankan hambanya
lebih dari apa yang mereka mampu tanggung. Di dalam ini
adalah satu mesej kepada orang-orang yang taat bahawa pertolongan yang mereka
berikan untuk Allah dan kerja yang mereka lakukan memanggil manusia kepada Islam
tidak perlu dikaitkan dengan mana-mana individu tertentu. Mereka perlu
mengekalkan perspektif yang sesuai terhadap orang lain, tidak membesar-besarkan
kepentingan mereka ataupun memandang mereka dengan kebencian. Mereka perlu
melindungi mesej yang mereka panggil kepadanya dan masyarakat mereka daripada kesesatan
ahli kitab yang mengagungkan paderi-paderi dan rahib-rahib seterusnya melanggar
ajaran Allah. Umat Muslim perlu setia kepada ajaran Allah yang terkandung di
dalam Al-Quran dan Sunnah dan bukannya mengikuti jalan-jalan orang itu dan ini. Setiap orang mempunyai
imam-imam dan orang-orang pentingnya, namun imam-imam tersebut hanya layak
dengan gelaran tingginya bergantung kepada kesetiaan mereka kepada method yang
sesuai dan menjelaskan secara jujur ajaran Allah dan RasulNya. Jika mereka
tidak mampu untuk mencapai tahap tersebut, mereka perlu diganti dengan yang
lain. Ini tidak dapat berlaku kecuali hanya jika umat Muslim sentiasa memberi
perhatian, aktif dan berwaspada. Ia mesti bukan satu umat yang mendirikan Iman
dan kepercayaan berdasarkan tradisi bangsa, ikutan yang membuta tuli, dan
nafsu. Iman dan kepercayaan harus didirikan atas asas Ilmu, bukti, dan teks-teks
suci. Umat Muslim bukannya segorombolan kambing dipandu tanpa sedar tanpa
mengetahui apa-apa melainkan kepercayaan yang buta terhadap ketuanya. Ini
adalah umat yang telah dipanggil untuk menolong Allah semata-mata. Pertolongan
dan bantuan yang diberikan kepada orang lain adalah dengan syarat mereka juga
adalah penolong-penolong Allah. Bila orang-orang tersebut mempunyai kekurangan
di dalam menjadi penolong-penolong Allah, maka tidak sesuai untuk mengikuti dan
mencontohi mereka. Di manakah boleh
kita temui panduan jelas ini di dalam umat Muslim sekarang? Kebanyakan orang,
para pelajar ilmu, dan organisasi Islam menggerakkan diri mereka secara buta dan
tanpa soal periksa di belakang personaliti-personaliti berbeza seperti Ulama,
pekerja-pekerja Islam dan pemimpin politik. Apabila Allah
memberikan idea pertolongan dan bantuan, Dia memberikan maksudnya dengan
berfirman: “dan sesungguhnya
Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya
Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.” [Surah al-Hajj: 40] Setiap individu,
organisasi, atau puak mendakwa menjadi penolong kepada jalan Allah dan
menegaskan bahawa mereka tidak didorong untuk mengekalkan kuasa, ketamakan,
atau kuasa politik. Ini sebabnya Allah memperincikan di dalam ayat ini siapa
yang benar-benar menolong Allah. Adakah mereka yang membuat dakwaan? Jauh dari itu;
penolong-penolong Allah adalah apa yang Allah firmankan di dalam ayat selepas
ayat di atas: “Iaitu mereka
(umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya
mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat
kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan
(ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” [Surah al-Hajj:41] Kita boleh
melihat bahawa Allah memberikan mereka beberapa ciri yang hanya akan kelihatan
di masa depan apabila Dia berkata “ ... jika Kami berikan mereka kekuasaan
memerintah di bumi ...” Berapa ramai orang-orang yang mendakwa mungkir kepada
janji-janji mereka dan mendedikasikan diri mereka untuk mengejar kesenangan
duniawi? Ramai orang yang
hanyut dengan mimpi-mimpi indah dan menggambarkan masa depan yang idealisitk
tanpa kecacatan. Aduhai, apabila masa depan itu sampai kepada mereka dan mereka
dapati bahawa ia bukanlah utopia yang mereka harapkan, prinsip-prinsip dan hati
mula berubah dan ketamakan mengambil tempat. Perkara mula retak dan tuduh-menuduh
mula berlaku. Ayat tersebut
tidak mengaitkan pertolongan Allah dengan mereka yang berjanji mendirikan solat
dan membayar zakat namun kepada mereka yang Allah tahu akan benar-benar
melakukannya di masa hadapan juga menyuruh berbuat kebaikan dan melarang melakukan
kejahatan apabila mereka diberikan kekuasaan memerintah di atas muka bumi. Terperangkap
dengan tarikan personaliti-personaliti dan melupakan prinsip-prinsip atau tidak
mengendahkannya kerana individu-individu atau kumpulan-kumpulan adalah jalan
yang berbahaya dan curang dan jalan yang sering diambil di dalam sejarah
orang-orang yang memanggil kepada Allah dan di dalam sejarah umat. Tiada yang
setanding dan setara dengan al-Quran di dalam mengembalikan manusia kepada
keseimbangan dan mengekalkan prinsip-prinsip yang mana kewujudan mereka berasal
dari situ. Seruan “Jadilah kamu penolong-penolong Allah” yang menemani
aktiviti-aktiviti Jihad dan kerja-kerja Islam menjadi peringatan bahawa
ketaatan kepada Allah, RasulNya, dan agamanya mesti datang dahulu sebelum
ketaatan kepada manusia, kumpulan-kumpulan, atau organisasi-organisasi. Jadi, adakah
semua orang akan mengambil endah? * Saya tidak dapat mencari
terjemahan hadith-hadith tersebut di dalam bahasa Malayu, jadi saya terjemah
direct dari bahasa Inggeris menurut kefahaman saya. Sila berikan pembetulan
sekiranya perlu -penterjemah- |
| Leave a Comment: |